Wednesday, September 7, 2016

Surat Terbuka Buat Jasmine Zulayqa


‘Jasmine Zulayqa, ini hadiah dariku, seorang ayah yang imannya turun naik sama seperti lelaki lain itu'

Dulu, sewaktu ayah menemani bonda di hospital, berhari hari sentiasa berdoa agar awak lahir dengan selamatnya. Tetapi awak ‘tiba’ lewat, awak lahir betul betul pada hari Jumaat seperti yang selalu dititipkan dalam doa bonda saat awak mula berada dalam rahimnya.

Awak baik sangat malam tu. Tak berkelip mata awak saat ayah mengeluarkan telefon untuk berselfie dengan awak tatkala dilahirkan selepas mengumandangkan azan di telinga awak. Berhidung mancung dan berkulit kemerah merahan sambil menangis nyaring minta untuk disusukan.

Ayah takut untuk ambil dan dukung awak. Iyalah, kan kali pertama bergelar daddy. Ececeh. Tapi hati ayah kerap sahaja terasa nak ambil dan cium awak. Dalam gementar, ayah tahan dan terus beristighfar serta mengucapkan kalimah syukur pada Allah.
Tak pernah sekali pun ayah fikir yang kita takkan bertemu. Ayah yakin kita pasti bertemu dan sentiasa berdoa agar ayah serta bonda dikurniakan zuriat untuk menyerikan keluarga.

Jasmine, ayah tahu awak tak boleh membaca tulisan ini dan mungkin saat awak mula pandai membaca itu awak sudah menjadi anak yang sangat mendengar kata ayah dan bonda.

Semoga awak jadi anak yang baik, menutup aurat dengan sempurna, mentaati suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Menjadi seorang anak perempuan yang baik akan kepada ayah dan bondanya serta bakal suami awak kelak.

Jasmine, baca ni.
'Ayah berikan pujian dan penghormatan pada awak khas dari ayah sendiri sebagai seorang lelaki apatah lagi seorang yang berstatus ayah.'

Jasmine, terima kasih kerana telah menjadi anak ayah dan bonda yang baik meskipun dalam serba kekurangan. Maafkan atas segala kekhilafan dan kelemahan sepanjang ayah dan bonda menjaga awak selama ini.

7 bulan lebih, dan awak sangat mempersonakan.
Ayah puji ni, Jasmine. Ayah puji kerana ayah melihat awak membesar depan mata.
Ayah bukanlah seorang yang alim dan warak, tetapi ayah harap ayah tidak salah untuk mendidik anak.

Ayah doakan agar awak menjadi anak yang baik dari segi akhlaknya, bijak akademik dan bijak berfikir, solehah untuk diri awak dan kita semua serta jadilah penyejuk mata ayah dan bonda. Insha Allah, Aameen.

Malam ini, malam istimewa coretan khas ayah untuk awak, ingat tarikh ni, Rabu, 7/9/2016, jam 9 malam.

Itu waktu untuk kita berdua imbas kembali kala ayah tua nanti.
Ikhlas, Ayah.

**Eh, rasa macam surat Dai’ Wan buat Uqasha la pula ayat ni. Maaf Dai’ Wan pinjam template, otak dah beku untuk menulis macam dulu. hihi