Sunday, August 27, 2017

Tiga Puluh

Pada hari 16 Julai 2017.

Maka genap berusia Tiga Puluh.
Semoga bangun kalau jatuh.
Hidup jangan selalu mengeluh.
Cinta pada kalian terus teguh.
Tiada rapuh.
Dan sentiasa utuh!

Wednesday, May 24, 2017

Amy Search Di Makam Almarhum TGNA


Alhamdulillah, ketika siang sebelum Konsert Lagenda Rock Search yang dibawakan khas oleh DCODE di Hotel Rennaisance, Kota Bharu, berkesempatan untuk membawa Abang Amy menziarahi makam Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat di Pulau Melaka.  
Sebelum itu, sempat singgah solat di Masjid Tok Guru dan melawat Galeri Tok Guru yang memaparkan pelbagai barangan serta perihal peribadi Almarhum. 


Kerinduan yang tidak pernah padam meskipun jasad telah terpisah dari badan. Lebih istimewa, Abang Amy sendiri yang text saya untuk mengajak menziarahi makam Almarhum Tuan Guru setelah kali terakhir ke rumahnya pada kira kira 6 atau 7 tahun yang lepas. Semoga ALLAH sentiasa merahmati dan memelihara Almarhum Tuan Guru dan semoga kita semua juga bersedia untuk dijemput pulang dalam keadaan yang indah seperti Almarhum. Terima kasih Abang Amy atas ingatan yang berpanjangan.

Al-Fatihah~

Wednesday, September 7, 2016

Surat Terbuka Buat Jasmine Zulayqa


‘Jasmine Zulayqa, ini hadiah dariku, seorang ayah yang imannya turun naik sama seperti lelaki lain itu'

Dulu, sewaktu ayah menemani bonda di hospital, berhari hari sentiasa berdoa agar awak lahir dengan selamatnya. Tetapi awak ‘tiba’ lewat, awak lahir betul betul pada hari Jumaat seperti yang selalu dititipkan dalam doa bonda saat awak mula berada dalam rahimnya.

Awak baik sangat malam tu. Tak berkelip mata awak saat ayah mengeluarkan telefon untuk berselfie dengan awak tatkala dilahirkan selepas mengumandangkan azan di telinga awak. Berhidung mancung dan berkulit kemerah merahan sambil menangis nyaring minta untuk disusukan.

Ayah takut untuk ambil dan dukung awak. Iyalah, kan kali pertama bergelar daddy. Ececeh. Tapi hati ayah kerap sahaja terasa nak ambil dan cium awak. Dalam gementar, ayah tahan dan terus beristighfar serta mengucapkan kalimah syukur pada Allah.
Tak pernah sekali pun ayah fikir yang kita takkan bertemu. Ayah yakin kita pasti bertemu dan sentiasa berdoa agar ayah serta bonda dikurniakan zuriat untuk menyerikan keluarga.

Jasmine, ayah tahu awak tak boleh membaca tulisan ini dan mungkin saat awak mula pandai membaca itu awak sudah menjadi anak yang sangat mendengar kata ayah dan bonda.

Semoga awak jadi anak yang baik, menutup aurat dengan sempurna, mentaati suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Menjadi seorang anak perempuan yang baik akan kepada ayah dan bondanya serta bakal suami awak kelak.

Jasmine, baca ni.
'Ayah berikan pujian dan penghormatan pada awak khas dari ayah sendiri sebagai seorang lelaki apatah lagi seorang yang berstatus ayah.'

Jasmine, terima kasih kerana telah menjadi anak ayah dan bonda yang baik meskipun dalam serba kekurangan. Maafkan atas segala kekhilafan dan kelemahan sepanjang ayah dan bonda menjaga awak selama ini.

7 bulan lebih, dan awak sangat mempersonakan.
Ayah puji ni, Jasmine. Ayah puji kerana ayah melihat awak membesar depan mata.
Ayah bukanlah seorang yang alim dan warak, tetapi ayah harap ayah tidak salah untuk mendidik anak.

Ayah doakan agar awak menjadi anak yang baik dari segi akhlaknya, bijak akademik dan bijak berfikir, solehah untuk diri awak dan kita semua serta jadilah penyejuk mata ayah dan bonda. Insha Allah, Aameen.

Malam ini, malam istimewa coretan khas ayah untuk awak, ingat tarikh ni, Rabu, 7/9/2016, jam 9 malam.

Itu waktu untuk kita berdua imbas kembali kala ayah tua nanti.
Ikhlas, Ayah.

**Eh, rasa macam surat Dai’ Wan buat Uqasha la pula ayat ni. Maaf Dai’ Wan pinjam template, otak dah beku untuk menulis macam dulu. hihi


Friday, April 29, 2016

Jasmine Dari Jemari Bonda (Part 4)



15 JANUARI 2016, JUMAAT


12 am lebih bonda jalan-jalan, bersenam. Serah diri mohon nurse check jalan. Surprising 5 cm! Cepat cepat nurse kol labour room untuk hantar bonda. Bonda pindah katil ke labour room. Nurse ambilkan baju anak bonda, air zam zam dan roti. Bonda makan sikit atas katil sebelum ditolak. Call ayah yang bonda akan ke LR kejap lagi. Sepanjang jalan, bonda pejam mata sambil mengucap. Rasa cam nak mati dah.


1 am doctor check jalan 7cm. Bonda minta nak teran. Doctor bagi tapi ayah tak sampai lagi. Sorry, ayah, bonda tak tahan. 1.15 am start teran tapi gagal even berapa kali. Bonda takut anak bonda lemas. Last bonda nekad yang anak bonda wajib lahir. 1.30 am bonda nampak rambut hitam anak bonda. Tau tau anak bonda dah ada kat kaki bonda. Syukur. Hilang sakit tapi bonda penat, anak. Saat yang paling bermakna bila bonda bersentuhan dengan anak bonda. Bulat mata anak bonda. Anak bonda pandang bonda. Ye sayang, sayang dah lahir. Ni bonda, sayang. Terima kasih, Allah.


Ayah datang. Ni anak kita, abg. 2 am lebih bonda ke bilik bedah dibius separuh badan. 4 am lebih bonda kembali ke wad bersama anak bonda. Tapi bonda cuma mampu lihat. Bonda tak boleh bergerak. Anak bonda tidur lena. Tak sabar bonda nak bangun peluk anak bonda walaupun jarak kita hanya sedikit. 7 am lebih nurse datang minta bonda susukan anak bonda sebelum anak bonda dibawa ke wad utk antibiotik. Maaf, anak. Dan hari tu berlalu tanpa anak bonda dalam rahim bonda. Tanpa anak bonda di sisi. Malam bonda bersama tangisan. Bonda rindukan anak bonda. Bonda nak anak bonda. Bonda rindu. Terima kasih, ayah. Jagakan bonda. Kuatkan bonda. Bonda nak jumpa anak bonda esok. Bonda sayang Jasmine, ayah sayang Jasmine, Allah sayang Jasmine.


**credit instagram bonda : @zalehasiah

Wednesday, April 20, 2016

Jasmine Dari Jemari Bonda (Part 3)



14 JANUARI 2016, KHAMIS


Bangun 5.30 am tapi siap mandi 6.10 am. Nurse dah cuak cari bonda sebab doctor tunggu nak induce. hihi. Sorry nurse. Kekok dengan tangan berjarum, kain besar. Bonda x sempat make up. Tiga orang kena induce n bonda yang pertama. fuhhh! Jalan tak ada langsung so doctor tolong buka 1 cm. Tak rasa pun masuk ubat. Keluar dari bilik rawatan siap wish good luck kat mak mak lain. Breakfast roti n air kotak sebelum sampai breakfast wad. Pagi ni baru bonda sedar yang bonda akan lahirkan anak bonda bila bila masa. Kalau hari ni tak bersalin, pagi jumaat bonda akan dapat induce kedua. hihi. Sembang dengan mak mak n nurse. Kat sini tak de kelas wad so redha je la. Syukur sangat service 5 star dan selesa..


11 am bonda rasa sakit perut, pinggang. eh2. Kenapa rasa sakit ni., sakit sangat. Tak leh nak tulis pun. Contraction kah? Yup. Selang 5 ke 10 minit. Sempat la bernafas, dah macam  macam gaya dah bonda atas katil. 12.30 pm ayah datang bawa rombongan. Bonda sakit, ayah, sakit sangat. Ayah urut n gosok bonda. 2 pm bonda cuba tidur tapi tak berjaya. 3 pm bonda mandi air suam sejam. Kuranglah sikit sakit. Solat n siap siap nak jumpa ayah. Dapat delivery nestretto mocha snow ice blended dari ayah. Last minuman ais..ahaks!


5 pm ayah datang dengan rombongan. Sakit sangat. Masa ni tak malu dah nangis depan semua org, nurse. mak mak n pelawat. 6 pm tokki suruh check jalan. Bonda seriau sakit tapi tak pe la..kot kot dah buka tapi 1cm. Nurse puji bonda kemas n bershawl. Haruslah kan ayah tunggu bonda. auw. 7 pm bonda siap siap solat mghrib n rest on bed. Tak rest pun tapi lebih pada gosok perut. 9 pm bonda dengar nurse briefing. Kalau bonda tak bersalin lepas induce kedua, prepare for ceaser. Sebab bonda leaking. Tak nak czer. Terus bangun solat, buat senaman, jalan jalan.


10 pm bonda baring then bunyi POP! air ketubankah. yes! bagitau nurse dan nurse ajak check jalan. 2cm. Terus masuk ubat buang air besar. hahaha. Berlari pergi toilet. 11 pm jerit nurse!! dari katil. "czer la saya sekarang.." syukur nurse suruh bersabar. Bonda jalan jalan, bersenam, duduk depan nurse. Buat muka kesian sambil peluk bantal kuning bonda. "saya sakit perut cam nak masuk toilet tp dah buang tp nak teran tp sakit.."


**credit instagram bonda : @zalehasiah

Tuesday, April 19, 2016

Jasmine Dari Jemari Bonda (Part 2)



13 JANUARI 2016, RABU 


Sebab tidur tidur ayam so subuh lagi dah bangun mandi solat. Masa ni baru start sembang ngn mak mak kat sebelah katil. Syok pulak tengok nurse n mak mak tolak baby dorang untuk dimandikan. Breakfast mi goreng sedap nak bertambah tapi memang tak dapatlah kan. Nurse check BP bonda n heart beat anak bonda. Buat CTG. Doctor pakar explain something kat doctors dan me like "Allahu Akbar".


Bonda admit sebab leaking, air ketuban ni penting, bimbang ada jangkitan dan membahayakan kandungan. kena masuk jarum kat tangan. Apa la sangat sakit inject inject ni kan. Memang tak boleh balik la maksudnya. uwaa! Nangis masa tu juga. My 1st time masuk wad dan bonda rasa teruk sangat kesihatan keadaan bonda masa tu. Pukul 12.30 pm ayah datang melawat, bawa bekal makanan untuk bonda. Bonda memang alah pada makanan, kalah sebenarnya.


Borak borak dengan mak mak kat sebelah, dengan nurse. Dah pakai pad sebab nak kena tahu air ketuban dan darah keluar. Tak selesa sangat. Che dan tok ayah sampai kemaman. Malam tu bonda masuk bilik rawatan tapi lupa dah untuk apa. Alang2 tu nurse terus masukkan ubat buang air besar sebab bonda kena induce pertama pukul 6.00 am Khamis. Hahaha. Terus berlari pergi toilet dan malam tu bonda tidur lena menantikan kelahiran anak bonda. Selamat malam, ayah.


**credit instagram bonda : @zalehasiah

Sunday, April 17, 2016

Jasmine Dari Jemari Bonda (Part 1)



12 JANUARI 2016, SELASA


Hari ni bonda dah bertekad nak siapkan kerja kerja secepat mungkin. Means minggu ni adalah minggu terakhir bonda masuk pejabat walaupun edd lagi dua minggu. Bonda buat keputusan yang muktamad untuk nikmati rehat kat rumah sambil bersenam, jadi suri rumah sepenuh masa, beribadah, dan yang paling penting nak buat semua natural inducer. ahaks! 


So isi GL dan permohonan cuti. 5 pm hantar borang borang to cc. Tengah sembang tu rasa cam cecair dah meleleh sampai kaki. Ok kena pergi hospital, tapi balik rumah makan nasi, mandi, amik beg baby. Lepas maghrib terus pergi hospital .Kat screening room, jalan tak ada tapi cecair tu air ketuban. Wajib admit. 9 pm lebih lebih masuk wad Melur, Hospital Kemaman. Tukar baju dan im clueless. Tidur tidur ayam sebab ada ibu ibu bapak bapak yang keluar masuk wad n of course suara baby baby nangis nak susu, nak peluk. Dan bonda usap perut bonda sebab bonda tahu walau ayah tak ada kat sebelah, anak bonda ada dengan bonda.


Ya Allah, sihatkan dan sempurnakanlah bayiku.


**credit to instagram bonda : @zalehasiah

Jasmine Zulayqa Binti Ahmad Amshyar

Hidup ini singkat. Dalam kesingkatan hidup, ALLAH telah dan akan mengurniakan pelbagai perkara untuk kita sebagai hamba mendepaninya. Justeru, dalam singkatnya hidup ini, kenapa harus kita banyak berfikir, mengingati perkara buruk? Mahupun resah gelisah dengan sesuatu yang tidak baik?

Lima Belas Januari Dua Ribu Enam Belas (15/01/2016), awal pagi Jumaat mulia yang hening, ALLAH telah menganugerahkan kami suami isteri sesuatu yang sangat indah! 

JASMINE ZULAYQA BINTI AHMAD AMSHYAR~

Meski kelahiran Jasmine disusuli dengan pelbagai ujian dan cabaran buat kami tetapi bila merasakan bahawa ALLAH itu sangat baik dan hidup ini terlalu singkat untuk kita berterusan bersungut dan merasa sukar. 

Syukur Alhamdulillah, kini Jasmine genap berusia 3 bulan dan bonda Jasmine pun sudah kembali bekerja. Semoga ALLAH sentiasa menjaga Jasmine dan bonda dalam nyata dan maya. Maka dalam bahagia yang kita kecapi, tidak haruslah rasanya untuk mengingati hal hal yang tidak baik serta membuatkan kita sangat trauma dengan kehidupan dan kelahiran seorang Jasmine tidak lama dulu.

Lapangkan dada, berfikiran positif dan sentiasa tanamkan niat untuk bahagiakan anak dan isteri serta keluarga kerana ALLAH. Semoga dipermudahkan kehidupan kita semua oleh NYA.

Tuesday, September 29, 2015

Selamat Hari Ulangtahun, Kekasih

Setiap tahun, 24 September pasti datang dan seperti diizinkan, kamu masih dalam lindungan Tuhan. Syukur Alhamdulillah masih diberikan kesempatan untuk mengecap bahagia. Tiada syair mahupun bait bait indah untuk menggambarkan betapa besar dan hebatnya pengorbanan seorang isteri.


Dan untuk meraikan hari bahagia tersebut, kebetulan 24 September itu jatuh pada Hari Raya Eidul Adha1436H, berkesempatan untuk jejakkan kaki ke tempat yang telah lama diidamkan (Helipad, Heli Lounge)


Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran, Mama To Be! Semoga ALLAH terus memberkati. Dikurniakan hal hal yang indah dalam hidup. Diberikan kesempatan untuk mengecap kebahagiaan sebelum dijemput pulang. 


"Kau Kaseh penyeri jiwa, pendorong ku hadapi hidup.."

Sunday, August 23, 2015

Tribut Buat Sang Pencerah



Buat pertama kali dalam hidup, karya saya berjudul 'Meniti Titian Usang' diangkat secara eksklusif dalam bentuk buku. Berharap ini bukanlah yang terakhir dan biarlah ia merupakan permulaan untuk saya menulis walaupun dalam sifat hanya 'suka-suka'. Meskipun hanya cebisan atau hanya salah satu tajuk dalam sebuah karya yang hebat serta melibatkan tokoh yang hebat.


'Meniti Titian Usang' merupakan salah satu tajuk lagu yang dipopularkan oleh kumpulan rock Search dan judul tersebut dipilih bersempena dengan kunjungan ziarah hormat saya bersama Ikon Rock Tanah Air iaitu Amy Search ke kediaman Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat beberapa tahun yang lepas.


Masih segar di ingatan pertemuan bersejarah tersebut dan lebih manis apabila kenangan yang hebat itu akhirnya berjaya untuk dibukukan bagi tatapan generasi akan datang kelak.


Tribut Buat Pencerah, karya yang di susun oleh Dr Riduan Mohamad Nor yang terbit selepas beberapa bulan pemergian Almarhum TGNA menceritakan pelbagai kisah suka duka sosok hebat bersama dengan pelbagai lapisan masyarakat. Buku yang diterbitkan oleh Jundi Resources ini boleh didapati disemua kedai kedai buku yang terpilih serta pengedar yang berhampiran.


satu kebanggaan bila melangkah masuk ke kedai buku Popular dan melihat karya yang ditulis. hehe

Tuesday, August 11, 2015

Tiada Rapuh



Di akhirnya yang menang adalah cinta
Setelah lama bersulam pada suka
Sesekali semestinya ada duka 

Karena cinta itu tulus
Jadi,

Cinta pada siapa harus rapuh?
Cinta itu perlu terus utuh.
Cinta harus kukuh.

Ahmad 15:31

Monday, August 10, 2015

Luruhnya Cinta Di Bumi Korea

Bunga dan salji itu sentiasa menggamit kenangan. Tiada dalam diari hidup ini untuk terus melupakan. Tiga kali menjejakkan kaki ke bumi nan indah dengan tiga musim berbeza ini akan selalu tersemat disanubari. Mahu terus kembali dengan rindu yang mencengkam ini meskipun sudah berubah status dan semestinya sekali lagi berubah menjelangnya Februari!

Subhanallah, ALLAH itu hebat dan sebaik baik pencipta. Dari indahnya bumi Korea Selatan sehingga hebatnya akhlak bukan muslim di sana, boleh kita teladani.

Sonata -18'c

Saat pertama kali kaki memijak, dengan cuaca suhu sehingga mencapai -18'c! Dalam hati berkata, ini kali terakhir untuk aku travel pada musim sejuk kerana sangat serik. Dengan memakai pakaian sehingga 5-6 lapis, pergerakan yang sangat terbatas. Kulit pun mudah untuk menggelupas, bercakap dengan keluar asap sana sini. haha. Tapi serius, kini aku sangat rindukan bau bau salji dan betapa indahnya menyaksikan kebesaran sangat salji turun mencurah curah dari langit-NYA. Subhanallah.







Dedaunan Gugur Pada Nami

Trip kedua yang istimewa pada autumn. Sebelum masing masing berubah status. Luangkan masa bersama untuk ke tempat tempat yang romantis seperti Nami. Suka kerana cuaca sederhana tanpa perlu menggigil gigil mencari tempat perlindungan (heater). hehe







Bunga, Busan & Balqis

First time kembara solo ke Busan! Tidak kurang hebatnya berbanding Seoul. Dan jika musim bunga, adalah tidak sah jika tidak menjejakkan kaki ke Pulau Jeju. Dan bila di Jeju, ada Balqis. Dan ada Balqis serta bunga itu sangat indah!








Mahu kembali lagi, manusia itu tidak akan pernah merasa puas. Bersyukur dikurniakan pelbagai rezeki dan kemudahan. Tidak pernah sesekali pun merasa beban meskipun pelbagai dugaan yang mendatang. Kerana Allah SWT itu Maha Mengasihi setiap hambanya.

HAEUNDAE BEACH! Mung Tunggu Summer Aku Datang!


Ahmad 10.34 am

Sunday, June 21, 2015

Semoga Syurga Buatmu Seorang AYAH



Tidak pernah kami merasa sedar betapa hebatnya cinta yang kau beri.
Cintamu itu ialah cinta yang paling suci.
Sayangmu meskipun berkondisi, namun ia tulus buat kami.
Pengorbananmu walau dipandang sepi, namun takkan mungkin disaingi.

Dau kau adalah manusia yang istimewa.
Lima Puluh Tahun yang indah, semoga Syurga buatmu seorang ayah.

Moga kami menjadi anak yang baik padamu. SELAMAT HARI BAPA yang dikhaskan untukmu.
Walau kau pun tidak terlalu ingin tahu.

Ahmad
21 Jun 2015

Saturday, June 20, 2015

Meniti Titian Usang

"Kerana apa saya menangis mendengar Amy menyanyi tadi? Sebelum ni yang kita tahu golongan rock ni golongan yang terlibat dengan dadah, perempuan dan maksiat. Bagaimana golongan rock ni boleh bertukar duduk sekali bersama saya untuk Islam, ini semua tidak lain tidak bukan adalah kuasa ALLAH swt, hebatnya kuasa ALLAH swt.." - Almarhum TGNA ketika Hari Belia Negeri Kelantan 2012
  Beberapa bulan lepas, abang Amy pernah memberitahu ketika berjumpa dengan Ustaz Ahmad Dusuki pada satu kuliah maghrib, “Ustaz Dusuki cakap Tok Guru tanya ‘mana Amy? Sihat ke dia?”. Abang Amy sangat teruja dan terharu bila tahu bahawa Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) masih mengingati beliau. Saya membalasnya dengan memberitahu bahawa Almarhum sangat uzur dan mempelawa Abang Amy untuk menziarahi Almarhum jika mempunyai masa terluang dan Abang Amy berjanji akan hubungi jika beliau mempunyai kesempatan untuk itu.


  Dan ternyata ALLAH SWT adalah sebaik baik perancang apabila terlebih dahulu ‘menjemput’ pulang Almarhum pada malam 12 Februari lepas. Abang Amy ternyata sangat terkilan kerana tidak sempat memberitahu kepada Almarhum bahawa impian beliau untuk mendirikan serta memiliki pusat pendidikan berasaskan agama dan tahfiz sudah berjaya dicapai dengan tertubuhnya Tahfiz Al Bayan ‘School Of Quran Hadith’.
  Pertemuan pertama dua lagenda dari bidang yang berbeza ini bermula ketika Almarhum singgah makan tengahari di Restoran Cheng Ho milik Abang Amy beberapa tahun yang lepas. Pada masa itulah Abang Amy mempersembahkan kepada Almarhum pelan dan rancangan beliau untuk menubuhkan sekolah tahfiz yang berasaskan sains dan bahasa inggeris. Hubungan mereka berdua lebih rapat apabila Abang Amy sendiri beberapa kali berpeluang untuk berprogram bersama Almarhum TGNA sehingga ada suatu masa Almarhum memberitahu bahawa beliau mengalirkan airmata ketika mendengar Abang Amy menyanyi sebuah lagu.


  Almarhum TGNA sememangnya seorang yang sangat menghargai para selebriti. Kalau dulu saya hairan kenapa Almarhum cukup mesra dan gembira bila ada selebriti atau artis yang bertemu dengan beliau, kini barulah saya faham bahawa itulah salah satu cara Almarhum berdakwah. Sangat berhikmah sehinggakan para selebriti wanita yang berjumpa dengan beliau akan menutup aurat dengan sempurna kerana malu dengan sederhanaan dan keperibadiannya. Bagi Almarhum, semua insan mempunyai peranan masing masing untuk berdakwah dan menegakkan Islam. Menegur selebriti atau artis yang jahil, jangan sampai menghina dan mencaci kerana mereka juga saudara Islam kita yang akan ke Syurga kelak.
  Sesuatu yang sangat melekat di ingatan saya sampai saat ini meskipun sudah bertahun ianya berlalu ialah pengalaman ketika menjejakkan kaki ke kediaman Almarhum TGNA bersama Abang Amy dan rakan yang lain. Pagi Jumaat yang indah, kami solat Subuh berjemaah di Masjid Pulau Melaka dengan berimamkan Almarhum. Ketika itu Almarhum masih lagi memegang jawatan Menteri Besar Kelantan dan selepas beliau melakukan semua rutin harian beliau dengan memberi tazkirah subuh seterusnya mentahnik bayi, suasana di masjid kembali tenang dengan beliau antara yang terakhir meninggalkan masjid ketika jam menghampiri 8 pagi. Seusai beliau solat sunat, Abang Amy menghampiri Almarhum dengan meperkenalkan diri, “Ni Amy ni, Tok Guru”. Sambil bersalam dan mencium tangan, Almarhum dengan raut wajah sedikit terkejut dan berkata, “laa, bila lagi sampai ni?” dan terus mengajak kami semua ke kediamannya.

 

  Dalam melayani kami, masih ada lagi tetamu lain yang ingin bertemu dengan Almarhum TGNA di luar rumah. Ketika itu masih saya ingat, saya bertanyakan Almarhum, “Gapo tu Tok Guru?”, merujuk kepada botol yang Almarhum bawa dan Almarhum menjawab, “Ni madu kampung, madu molek ni. Nok buwi ko ore lua tu”. Almarhum menjemput kami semua duduk dan bertanya, “Ni semua kawan kawan Mi dari Kuala Lumpur la ni?”. Almarhum memberitahu bahawa beliau tidak sihat pada pagi itu dan melihatkan raut wajahnya sememangnya Almarhum cukup penat, “Sepatutnya pagi ni ambo ado kuliah di Medan Imu tapi dokleh nok gi harini sebab rasa dok cekak sangat, ni pun selsema lagi”. Namun apa yang saya perasan, selepas berjumpa dengan Abang Amy, Almarhum tiba tiba sangat sihat dan ceria! Begitulah sikap Almarhum yang sangat menghargai tetamu yang membawa keberkatan walaupun tidak kiralah siapa tetamu itu.


  Dan pada pagi yang damai itu kami semua terutama Abang Amy berinteraksi dengan lebih lagi bersama Almarhum dengan bertanyakan berbagai perkara termasuk tentang wahabi dan perihal Datuk Seri Anwar Ibrahim. Abang Amy ada bercerita tentang tulang belakang beliau yang sakit kerana jatuh daripada bas apabila tiba tiba pemandu bas brek mengejut dan Almarhum pula bercerita tentang beliau juga pernah jatuh dari kuda selepas menang berlumba apabila beliau mengangkat tangan untuk meraikan kemenangan dan tiba tiba biawak melintas. Kami semua ketawa bersama sama mendengar cerita Almarhum dan sememangnya terpancar keceriaan pada wajah Almarhum dalam melayani setiap pertanyaan Abang Amy, Almarhum menjawab dengan tenang dan jelas.
  Paling mengejutkan kami ialah apabila melihat kelibat Almarhum TGNA daripada dapur membawa sendiri air dan kuih bahulu dalam dulang. Tidak pernah terfikir pun betapa indahnya cara beliau melayan tetamu meskipun dengan diri yang sangat uzur dan merupakan seorang Menteri Besar. Semua antara kami termasuk Abang Amy dan Abang Nasir tergamam dan terkejut melihat dengan mata mereka sendiri seorang Menteri Besar yang tidak ada orang gaji mahupun pembantu dirumahnya. Masing masing bangun dan bergegas mencapai apa yang ada pada tangan Almarhum. “Rasa tenang je duduk sini”, masih saya ingat kata kata Abang Amy bila mengenangkan kediaman Almarhum yang sangat sederhana dan tiada perabot perabot serta perhiasan yang mahal dan mewah meskipun 23 tahun memegang jawatan tertinggi.


  Selepas makan pagi yang dihidangkan, kami semua meminta diri untuk pulang kerana tidak mahu menganggu Almarhum untuk berehat. Sebelum pulang sempat lagi Almarhum TGNA membawa kami semua ke suatu sudut dan menunjuk gambar keluarga serta menceritakan sedikit salasilah keturunan beliau. Saya menjadi saksi betapa Almarhum tiba tiba berubah menjadi sihat dan ceria selepas pertemuan dengan Abang Amy dan apa yang saya ingat, Almarhum sempat menitipkan pesanan bahawa di mana mana tempat pun mesti kita memperingatkan orang lain tentang Allah SWT dan Islam hatta di atas pentas sekalipun.
  Istimewanya Almarhum di mata semua insan tidak kira apa jua latarbelakang. Kerana itu pemergiannya adalah sebuah kematian yang menghidupkan dan menyatukan. Seorang pejuang, sejarahnya pasti dan akan sentiasa ditulis orang. Dan sehingga saat ini Almarhum terus dikenang dan semestinya sentiasa dalam lipatan sejarah.
"Lemas dalam rindu, tenggelam dalam tangisan
Engkau telah pergi, tapi masih ada
Yang kau tinggalkan dalam kalbuku.."

Sunday, April 19, 2015

Debu Debu Rindu


Demi ALLAH, saya tidak pernah merasa taksub mahupun memuja Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) secara berlebihan samada ketika Almarhum masih hidup mahupun setelah meninggalkan kita semua. Keluarlah bermacam perkara dilangit yang terbelah sekalipun sama ada MH370 mahupun seangkatan dengannya saat pengebumian Almarhum, sedikit pun saya tidak merasa hairan dengan karamah karamah tersebut. Saya percaya sahabat sahabat yang lain juga tetap merasakan perkara yang sama dan tidak pernah menganggap TGNA adalah maksum. TGNA hanya manusia biasa yang apabila hayatnya tidak suka beliau diangkat atau dipuji secara berlebih lebihan.
Yang membenci Almarhum semestinya akan terus membenci. Pelbagai isu yang mebuatkan Almarhum dibenci, dituduh wahabi, tentang ‘silo lendik’, tentang seperti ‘mamat kampung’, Tuhan mencarut, namun semua itu tidak mampu untuk saya rungkaikan kan kerana ia sudahpun diperjelaskan oleh beliau sendiri dan ustaz ustaz yang lain malah ada juga kenyataan beliau diputarkan oleh pihak musuh. Saya tidak layak untu mengulas isu isu besar seperti tersebut, cukup lah Almarhum TGNA sebagai contoh didepan mata yang sentiasa ada Allah dan Rasul dihati dan setiap perbuatannya. Saya jahil dan saya tidak alim seperti kalian yang membenci Almarhum. Saya tiada ilmu untuk melawan hujah dan dalil Ahli Sunnah yang konon berhemah ketika mengkritik. Bahkan dengan panggilan Nik Ajis, Jusoh Kodowi, Ular dalam semak, kadang kadang saya tersenyum sendiri melihat akhlak yang dipaparkan oleh pejuang Ahli Sunnah ini.
Saya mempunyai beberapa catatan menarik tentang dan bersama Almarhum yang semestinya akan tersemat disanubari untuk selama mana hayat ini ada. Almarhum TGNA tidak mengenali saya dan jauh sekali untuk memandang saya namun apabila saya memandang Almarhum, hati menjadi tenang dan sayu. Memandang Almarhum, mengingatkan saya kepada Allah SWT dan apatah lagi ketika mendengar suara dan melihat kelibat Almarhum melakukan kerja kerja ibadat di depan mata.
Ketika Almarhum TGNA masih sihat dan mampu untuk mengimamkan solat Jemaah, saya sentiasa tidak sabar untuk menunggu waktu subuh pada pagi hari Jumaat. Tidak sabar untuk mendengar suara Almarhum mengalunkan bacaan surah Al Sajdah dan Al Insaan yang bacaannya panjang dan mendengar suara esakan tangisan Almarhum ketika membacanya. Subhanallah, bacaan dan suaranya menusuk kalbu. Jelas dan terang, tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu laju. Tone suaranya tidak terlalu halus dan tidak terlalu kasar. Saya sangat rindukan suara ini! Rindukan tangisan Almarhum yang membuatkan hati menjadi insaf dan sayu.
Bila Almarhum TGNA mula tidak lagi menjadi imam solat Jemaah di masjidnya, hati mula merasa ralat dan tidak keruan. Sentiasa berdoa agar giliran Almarhum untuk berada pada saf hadapan daripada makmum kerana saya amat rindukan bacaan ayat ayat suci yang keluar dari mulutnya. Namun saya tahu peristiwa itu tidak akan berlaku lagi. Ya Almarhum manusia biasa, beliau bukan Nabi dan bukan Rasul. Beliau juga melakukan kesilapan malah sesekali beliau ada terlupa untuk menunaikan salah satu perkara dan rukun dalam solat dan menjadikan kita ilmu untuk mempelajari sesuatu apabila berlakunya ralat tersebut.
Saat beliau tidak lagi menjadi imam dan tidak lagi menjawat jawatan Menteri Besar, solat Jemaah tetap menjadi keutamaan beliau. Saat azan berkumandang, saya sentiasa menunggu kelibat lelaki tua ini berjalan perlahan menggunakan tongkat daripada rumah ke pintu sebelah kanan masjid dalam keadaan terketar ketar. Lebih sayu bila melihat beliau berjalan sambil membawa beg karung berisi air kencing yang mana menjadi semakin serius sejak akhir hayatnya. Namun beliau tetap hadir ke masjid, menunaikan solat sunat sebelum dan selepas. Memerhatikan Almarhum dari jauh sambil hati merasa sangat sayu melihatkan pergerakan beliau sangat perlahan dan terbatas.
Almarhum TGNA sangat tegas dan ‘bekeng’. Dalam kelembutan yang kita tengok pada diri beliau, boleh dikatakan Almarhum adalah insan yang paling tegas serta garang pernah saya jumpai. Tegas beliau bertempat sehingga ada ketikanya saya menggeletar dengan sifat ‘bekeng’ Almarhum tersebut. Tatkala Almarhum menjadi imam, beliau sangat menitikberatkan soal saf yang mesti lurus dan rapat. Pernah sebelum mengangkat takbiratul ihram, beliau memberitahu dalam keadaan marah tentang betul dan rapatkan saf pada zaman Rasulullah SAW. Malah ketika beliau dalam keadaan uzur dan tidak menjadi imam sekalipun, pernah beliau meninggikan suara ketika selepas iqamah sebelum solat apabila ramai yang masih belum berdiri. “Bangun cepatla weh! Mari nok smaye ko lagu ni peranga! Kalu mendo lain derah hungga!”. Saya akan sentiasa ingat sampai ke saat ni wajah bengis beliau pada masa tersebut. Sampaikan kalau berkesempatan untuk solat berjemaah pasti saya akan terus bangun apabila iqamah dan sentiasa mengingati pesanan beliau itu. Betapa tegasnya Almarhum TGNA dalam perkara yang kerkaitan ibadat.
Saya akan sentiasa merindui Almarhum, melihat pusara Almarhum membuatkan air mata ini sukar untuk berhenti dari mengalir. Saat jenazah Almarhum dibawa keluar dari masjid,para muslimin kiri kanan belakang dan depan saya mengalirkan airmata sambil melafazkan zikrullah. Kelemahan saya adalah tidak boleh melihat lelaki menangis dan mana mungkin pada saat itu air mata ini tidak mengalir deras membasahi pipi tanpa sempat untuk menyekanya. Terbayang kelibat lelaki tua yang berjalan perlahan saat azan berkumandang dan dalam keadaan yang sangat uzur mendaki tangga masjid menunaikan solat Jemaah.
Paling diingati kira kira setahun yang lepas, selepas asar sewaktu sihat, Almarhum sedang bertadarus Al Quran dan saat itu saya menunggu di luar pintu bersama dengan seorang bayi. “Tok Guru tolong doakan anak ini”, sambil saya mencapai dan mencium tangan beliau. Seraya Almarhum mencuit cuit pipi Balqis sambil tersenyum dan seterusnya mengusap kepalanya sambil bertanya “Mari dari mano lagi ni?”. Sedang mulut Almarhum sambil berzikir, beliau berlalu pergi menuju ke pintu rumahnya. Sosok yang kecil berjalan sangat perlahan tetapi mempunyai hati dan jiwa yang besar untuk ALLAH.
Sedang kami yang sihat dan muda ini, hatinya sentiasa terpaut pada dunia yang akan ditinggalkan sedang mati itu dihadapan dan bumi ini hanyalah persinggahan.

Thursday, November 21, 2013

Rindu

Aku RINDU. Sungguh, aku sangat-sangat RINDU.

Aku RINDU kan jari jemari ku menari di atas kekunci, melepas segala yang terbuku di hati. Syukur pada ALLAH kerna masih memberiku pelbagai nikmat yang mampu aku kecapi setiap hari.

Aku RINDU. Aku celaru. Mohon ada sinar yang diidamkan sekelian lamanya. Sesungguhnya, hati ini andai awak tahu, AKU CINTA & SAYANG kan mu setiap masa.

Aku RINDU

Friday, March 18, 2011

Satu Kesan Abadi

Assalamualaikum..

Semakin merasai 'lazatnya' untuk proses bernafas. Dengan dendang irama hidup baru bila dibelai oleh suatu perkara yang membuatkan jalan didepan sana menjadi luas dan terang. Alhamdulillah, segala-galanya datang dari-NYA.

Semakin berlapang dada dan semakin tenang untuk mengecap nikmat. Merasa sentosa untuk kesekian kalinya pabila tiadanya dendam.

Harus teruskan langkah untuk terus senyum sepuasnya. Sungguh berbeza bagai yang dirasakan sebelum ini. Saya mahu terus diiringi NYANYIAN MIMPI.

Amysha 11:22

Tuesday, March 15, 2011

Nikmat Sihat

Assalamualaikum..

Jiwa dan hati terkenang, tatkala sakit itu mengundang. Bila sakit, hati ingat DIA bukan kepalang. Allahu Rabbi. Cinta DIA hanya bila memerlukan, Tuhan jauhilah perasaan sombong kepada-MU tika sihat dan nikmat.

Tatkala sakit jua, memikirkan apakah mujarabnya penawar. Mulut tidak henti berdoa, hati tidak henti meminta. Teringat nikmat dan gumbiranya tika sihat. Moga sakit yang ada diganti pahala serta penghapus betapa banyaknya dosa.

Alhamdulillah, tatkala menjenguk hospital, rupanya ramai yang lebih menderita. Diri yang sakit, segar dan bugar serta merta. Alhamdulillah, rupanya ujian yang diberi hanya sekecil cuma jika hendak dibanding dengan yang lain yang lebih tiada normal.

Moga terus diberi sihat tanpa lupa kepada-MU. Moga sentiasa diberi senang tanpa angkuh dengan segala pemberian-MU. Moga sentiasa hati yang naif serta gelap ini dibawah cahaya lindungan-MU. Allahu Rabbi. DIA yang Maha Pengasih Dan Maha Penyayang.

Amysha 11:34

Friday, February 25, 2011

Mungkin Kita Harus Bersedia Menghadapi Apa Saja


Temu kau di malam itu
Bagai menyahut hasrat nurani ku
Hanya dengan sebuah senyuman
Bisa terpatri satu harapan

Mengidamkan saat itu
Yang pasti hanya Tuhan yang tahu
Terpancur kalimah kalimah sakti
Berakhir dengan janji janji

Dikau menjadi kekasih
Namun aku merasa tersisih
Kau membina dinding ilusi
Ku terperangkap merintih sepi

Mungkin kita mesti terbuka
Dalam mengharungi dunia cinta
Mungkin kita harus bersedia
Menghadapi apa saja

Jangan jangan kau padamkan api asmara ini
Bayang silam kau pergilah
Pergilah dari sisi ku

Tiada lain yg ku tunggu
Untuk menduduki istana hatiku
Kaulah teman kaulah kekasih
Jangan membuatku tersisih

Bayang silam kau pergilah
Pergilah dari sisi

Amysha 15:21

Thursday, February 24, 2011

Komited

Assalamualaikum..

Senang dan bahagianya kita pada masa hadapan kerana susah dan deritanya kita pada hari ini. Klise sangat-sangat, hatta budak yang berumur 7 tahun pun mengerti maksudnya. Dalam kita susah dan derita pada hari ini, perlu ada pengorbanan dan hati yang teguh untuk menghadapinya.

Seperti kisah tersebut, saya juga perlu cekal untuk terus teguh sekalipun ada 'sayap' yang sekali sekala dilanda 'kecederaan' kerna ia normal. Tiada kisah cedera itu samaada berparut mahupun bagai angin lalu, segalanya kita perlu tempuhi dengan hati yang terbuka demi masa depan yang diimpikan.

Mana ada manusia di dalam dunia yang fana ini terlepas dari membuat silap melainkan Nabi dan Rasul yang Maksum, apatah lagi kita seorang hamba yang naif ini. Fahami diri ini yang sentiasa komited pada perhubungan dan tanpa gangguan anasir luar tiada sedetik pun di hati ingin menyakiti.

Bercakap itu enak, menaip di kekunci juga sangat lazat, kata orang. Namun disebalik enak dan lazatnya pernyataan, ingin saya tegaskan bahawa insan yang kerdil serta naif ini sentiasa KOMITED. Harus percaya jika mahu terus dalam laluan yang BERJAYA.

Amysha 10:47