Sunday, April 19, 2015

Debu Debu Rindu


Demi ALLAH, saya tidak pernah merasa taksub mahupun memuja Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) secara berlebihan samada ketika Almarhum masih hidup mahupun setelah meninggalkan kita semua. Keluarlah bermacam perkara dilangit yang terbelah sekalipun sama ada MH370 mahupun seangkatan dengannya saat pengebumian Almarhum, sedikit pun saya tidak merasa hairan dengan karamah karamah tersebut. Saya percaya sahabat sahabat yang lain juga tetap merasakan perkara yang sama dan tidak pernah menganggap TGNA adalah maksum. TGNA hanya manusia biasa yang apabila hayatnya tidak suka beliau diangkat atau dipuji secara berlebih lebihan.
Yang membenci Almarhum semestinya akan terus membenci. Pelbagai isu yang mebuatkan Almarhum dibenci, dituduh wahabi, tentang ‘silo lendik’, tentang seperti ‘mamat kampung’, Tuhan mencarut, namun semua itu tidak mampu untuk saya rungkaikan kan kerana ia sudahpun diperjelaskan oleh beliau sendiri dan ustaz ustaz yang lain malah ada juga kenyataan beliau diputarkan oleh pihak musuh. Saya tidak layak untu mengulas isu isu besar seperti tersebut, cukup lah Almarhum TGNA sebagai contoh didepan mata yang sentiasa ada Allah dan Rasul dihati dan setiap perbuatannya. Saya jahil dan saya tidak alim seperti kalian yang membenci Almarhum. Saya tiada ilmu untuk melawan hujah dan dalil Ahli Sunnah yang konon berhemah ketika mengkritik. Bahkan dengan panggilan Nik Ajis, Jusoh Kodowi, Ular dalam semak, kadang kadang saya tersenyum sendiri melihat akhlak yang dipaparkan oleh pejuang Ahli Sunnah ini.
Saya mempunyai beberapa catatan menarik tentang dan bersama Almarhum yang semestinya akan tersemat disanubari untuk selama mana hayat ini ada. Almarhum TGNA tidak mengenali saya dan jauh sekali untuk memandang saya namun apabila saya memandang Almarhum, hati menjadi tenang dan sayu. Memandang Almarhum, mengingatkan saya kepada Allah SWT dan apatah lagi ketika mendengar suara dan melihat kelibat Almarhum melakukan kerja kerja ibadat di depan mata.
Ketika Almarhum TGNA masih sihat dan mampu untuk mengimamkan solat Jemaah, saya sentiasa tidak sabar untuk menunggu waktu subuh pada pagi hari Jumaat. Tidak sabar untuk mendengar suara Almarhum mengalunkan bacaan surah Al Sajdah dan Al Insaan yang bacaannya panjang dan mendengar suara esakan tangisan Almarhum ketika membacanya. Subhanallah, bacaan dan suaranya menusuk kalbu. Jelas dan terang, tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu laju. Tone suaranya tidak terlalu halus dan tidak terlalu kasar. Saya sangat rindukan suara ini! Rindukan tangisan Almarhum yang membuatkan hati menjadi insaf dan sayu.
Bila Almarhum TGNA mula tidak lagi menjadi imam solat Jemaah di masjidnya, hati mula merasa ralat dan tidak keruan. Sentiasa berdoa agar giliran Almarhum untuk berada pada saf hadapan daripada makmum kerana saya amat rindukan bacaan ayat ayat suci yang keluar dari mulutnya. Namun saya tahu peristiwa itu tidak akan berlaku lagi. Ya Almarhum manusia biasa, beliau bukan Nabi dan bukan Rasul. Beliau juga melakukan kesilapan malah sesekali beliau ada terlupa untuk menunaikan salah satu perkara dan rukun dalam solat dan menjadikan kita ilmu untuk mempelajari sesuatu apabila berlakunya ralat tersebut.
Saat beliau tidak lagi menjadi imam dan tidak lagi menjawat jawatan Menteri Besar, solat Jemaah tetap menjadi keutamaan beliau. Saat azan berkumandang, saya sentiasa menunggu kelibat lelaki tua ini berjalan perlahan menggunakan tongkat daripada rumah ke pintu sebelah kanan masjid dalam keadaan terketar ketar. Lebih sayu bila melihat beliau berjalan sambil membawa beg karung berisi air kencing yang mana menjadi semakin serius sejak akhir hayatnya. Namun beliau tetap hadir ke masjid, menunaikan solat sunat sebelum dan selepas. Memerhatikan Almarhum dari jauh sambil hati merasa sangat sayu melihatkan pergerakan beliau sangat perlahan dan terbatas.
Almarhum TGNA sangat tegas dan ‘bekeng’. Dalam kelembutan yang kita tengok pada diri beliau, boleh dikatakan Almarhum adalah insan yang paling tegas serta garang pernah saya jumpai. Tegas beliau bertempat sehingga ada ketikanya saya menggeletar dengan sifat ‘bekeng’ Almarhum tersebut. Tatkala Almarhum menjadi imam, beliau sangat menitikberatkan soal saf yang mesti lurus dan rapat. Pernah sebelum mengangkat takbiratul ihram, beliau memberitahu dalam keadaan marah tentang betul dan rapatkan saf pada zaman Rasulullah SAW. Malah ketika beliau dalam keadaan uzur dan tidak menjadi imam sekalipun, pernah beliau meninggikan suara ketika selepas iqamah sebelum solat apabila ramai yang masih belum berdiri. “Bangun cepatla weh! Mari nok smaye ko lagu ni peranga! Kalu mendo lain derah hungga!”. Saya akan sentiasa ingat sampai ke saat ni wajah bengis beliau pada masa tersebut. Sampaikan kalau berkesempatan untuk solat berjemaah pasti saya akan terus bangun apabila iqamah dan sentiasa mengingati pesanan beliau itu. Betapa tegasnya Almarhum TGNA dalam perkara yang kerkaitan ibadat.
Saya akan sentiasa merindui Almarhum, melihat pusara Almarhum membuatkan air mata ini sukar untuk berhenti dari mengalir. Saat jenazah Almarhum dibawa keluar dari masjid,para muslimin kiri kanan belakang dan depan saya mengalirkan airmata sambil melafazkan zikrullah. Kelemahan saya adalah tidak boleh melihat lelaki menangis dan mana mungkin pada saat itu air mata ini tidak mengalir deras membasahi pipi tanpa sempat untuk menyekanya. Terbayang kelibat lelaki tua yang berjalan perlahan saat azan berkumandang dan dalam keadaan yang sangat uzur mendaki tangga masjid menunaikan solat Jemaah.
Paling diingati kira kira setahun yang lepas, selepas asar sewaktu sihat, Almarhum sedang bertadarus Al Quran dan saat itu saya menunggu di luar pintu bersama dengan seorang bayi. “Tok Guru tolong doakan anak ini”, sambil saya mencapai dan mencium tangan beliau. Seraya Almarhum mencuit cuit pipi Balqis sambil tersenyum dan seterusnya mengusap kepalanya sambil bertanya “Mari dari mano lagi ni?”. Sedang mulut Almarhum sambil berzikir, beliau berlalu pergi menuju ke pintu rumahnya. Sosok yang kecil berjalan sangat perlahan tetapi mempunyai hati dan jiwa yang besar untuk ALLAH.
Sedang kami yang sihat dan muda ini, hatinya sentiasa terpaut pada dunia yang akan ditinggalkan sedang mati itu dihadapan dan bumi ini hanyalah persinggahan.

No comments: