Saturday, June 20, 2015

Meniti Titian Usang

"Kerana apa saya menangis mendengar Amy menyanyi tadi? Sebelum ni yang kita tahu golongan rock ni golongan yang terlibat dengan dadah, perempuan dan maksiat. Bagaimana golongan rock ni boleh bertukar duduk sekali bersama saya untuk Islam, ini semua tidak lain tidak bukan adalah kuasa ALLAH swt, hebatnya kuasa ALLAH swt.." - Almarhum TGNA ketika Hari Belia Negeri Kelantan 2012
  Beberapa bulan lepas, abang Amy pernah memberitahu ketika berjumpa dengan Ustaz Ahmad Dusuki pada satu kuliah maghrib, “Ustaz Dusuki cakap Tok Guru tanya ‘mana Amy? Sihat ke dia?”. Abang Amy sangat teruja dan terharu bila tahu bahawa Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) masih mengingati beliau. Saya membalasnya dengan memberitahu bahawa Almarhum sangat uzur dan mempelawa Abang Amy untuk menziarahi Almarhum jika mempunyai masa terluang dan Abang Amy berjanji akan hubungi jika beliau mempunyai kesempatan untuk itu.


  Dan ternyata ALLAH SWT adalah sebaik baik perancang apabila terlebih dahulu ‘menjemput’ pulang Almarhum pada malam 12 Februari lepas. Abang Amy ternyata sangat terkilan kerana tidak sempat memberitahu kepada Almarhum bahawa impian beliau untuk mendirikan serta memiliki pusat pendidikan berasaskan agama dan tahfiz sudah berjaya dicapai dengan tertubuhnya Tahfiz Al Bayan ‘School Of Quran Hadith’.
  Pertemuan pertama dua lagenda dari bidang yang berbeza ini bermula ketika Almarhum singgah makan tengahari di Restoran Cheng Ho milik Abang Amy beberapa tahun yang lepas. Pada masa itulah Abang Amy mempersembahkan kepada Almarhum pelan dan rancangan beliau untuk menubuhkan sekolah tahfiz yang berasaskan sains dan bahasa inggeris. Hubungan mereka berdua lebih rapat apabila Abang Amy sendiri beberapa kali berpeluang untuk berprogram bersama Almarhum TGNA sehingga ada suatu masa Almarhum memberitahu bahawa beliau mengalirkan airmata ketika mendengar Abang Amy menyanyi sebuah lagu.


  Almarhum TGNA sememangnya seorang yang sangat menghargai para selebriti. Kalau dulu saya hairan kenapa Almarhum cukup mesra dan gembira bila ada selebriti atau artis yang bertemu dengan beliau, kini barulah saya faham bahawa itulah salah satu cara Almarhum berdakwah. Sangat berhikmah sehinggakan para selebriti wanita yang berjumpa dengan beliau akan menutup aurat dengan sempurna kerana malu dengan sederhanaan dan keperibadiannya. Bagi Almarhum, semua insan mempunyai peranan masing masing untuk berdakwah dan menegakkan Islam. Menegur selebriti atau artis yang jahil, jangan sampai menghina dan mencaci kerana mereka juga saudara Islam kita yang akan ke Syurga kelak.
  Sesuatu yang sangat melekat di ingatan saya sampai saat ini meskipun sudah bertahun ianya berlalu ialah pengalaman ketika menjejakkan kaki ke kediaman Almarhum TGNA bersama Abang Amy dan rakan yang lain. Pagi Jumaat yang indah, kami solat Subuh berjemaah di Masjid Pulau Melaka dengan berimamkan Almarhum. Ketika itu Almarhum masih lagi memegang jawatan Menteri Besar Kelantan dan selepas beliau melakukan semua rutin harian beliau dengan memberi tazkirah subuh seterusnya mentahnik bayi, suasana di masjid kembali tenang dengan beliau antara yang terakhir meninggalkan masjid ketika jam menghampiri 8 pagi. Seusai beliau solat sunat, Abang Amy menghampiri Almarhum dengan meperkenalkan diri, “Ni Amy ni, Tok Guru”. Sambil bersalam dan mencium tangan, Almarhum dengan raut wajah sedikit terkejut dan berkata, “laa, bila lagi sampai ni?” dan terus mengajak kami semua ke kediamannya.

 

  Dalam melayani kami, masih ada lagi tetamu lain yang ingin bertemu dengan Almarhum TGNA di luar rumah. Ketika itu masih saya ingat, saya bertanyakan Almarhum, “Gapo tu Tok Guru?”, merujuk kepada botol yang Almarhum bawa dan Almarhum menjawab, “Ni madu kampung, madu molek ni. Nok buwi ko ore lua tu”. Almarhum menjemput kami semua duduk dan bertanya, “Ni semua kawan kawan Mi dari Kuala Lumpur la ni?”. Almarhum memberitahu bahawa beliau tidak sihat pada pagi itu dan melihatkan raut wajahnya sememangnya Almarhum cukup penat, “Sepatutnya pagi ni ambo ado kuliah di Medan Imu tapi dokleh nok gi harini sebab rasa dok cekak sangat, ni pun selsema lagi”. Namun apa yang saya perasan, selepas berjumpa dengan Abang Amy, Almarhum tiba tiba sangat sihat dan ceria! Begitulah sikap Almarhum yang sangat menghargai tetamu yang membawa keberkatan walaupun tidak kiralah siapa tetamu itu.


  Dan pada pagi yang damai itu kami semua terutama Abang Amy berinteraksi dengan lebih lagi bersama Almarhum dengan bertanyakan berbagai perkara termasuk tentang wahabi dan perihal Datuk Seri Anwar Ibrahim. Abang Amy ada bercerita tentang tulang belakang beliau yang sakit kerana jatuh daripada bas apabila tiba tiba pemandu bas brek mengejut dan Almarhum pula bercerita tentang beliau juga pernah jatuh dari kuda selepas menang berlumba apabila beliau mengangkat tangan untuk meraikan kemenangan dan tiba tiba biawak melintas. Kami semua ketawa bersama sama mendengar cerita Almarhum dan sememangnya terpancar keceriaan pada wajah Almarhum dalam melayani setiap pertanyaan Abang Amy, Almarhum menjawab dengan tenang dan jelas.
  Paling mengejutkan kami ialah apabila melihat kelibat Almarhum TGNA daripada dapur membawa sendiri air dan kuih bahulu dalam dulang. Tidak pernah terfikir pun betapa indahnya cara beliau melayan tetamu meskipun dengan diri yang sangat uzur dan merupakan seorang Menteri Besar. Semua antara kami termasuk Abang Amy dan Abang Nasir tergamam dan terkejut melihat dengan mata mereka sendiri seorang Menteri Besar yang tidak ada orang gaji mahupun pembantu dirumahnya. Masing masing bangun dan bergegas mencapai apa yang ada pada tangan Almarhum. “Rasa tenang je duduk sini”, masih saya ingat kata kata Abang Amy bila mengenangkan kediaman Almarhum yang sangat sederhana dan tiada perabot perabot serta perhiasan yang mahal dan mewah meskipun 23 tahun memegang jawatan tertinggi.


  Selepas makan pagi yang dihidangkan, kami semua meminta diri untuk pulang kerana tidak mahu menganggu Almarhum untuk berehat. Sebelum pulang sempat lagi Almarhum TGNA membawa kami semua ke suatu sudut dan menunjuk gambar keluarga serta menceritakan sedikit salasilah keturunan beliau. Saya menjadi saksi betapa Almarhum tiba tiba berubah menjadi sihat dan ceria selepas pertemuan dengan Abang Amy dan apa yang saya ingat, Almarhum sempat menitipkan pesanan bahawa di mana mana tempat pun mesti kita memperingatkan orang lain tentang Allah SWT dan Islam hatta di atas pentas sekalipun.
  Istimewanya Almarhum di mata semua insan tidak kira apa jua latarbelakang. Kerana itu pemergiannya adalah sebuah kematian yang menghidupkan dan menyatukan. Seorang pejuang, sejarahnya pasti dan akan sentiasa ditulis orang. Dan sehingga saat ini Almarhum terus dikenang dan semestinya sentiasa dalam lipatan sejarah.
"Lemas dalam rindu, tenggelam dalam tangisan
Engkau telah pergi, tapi masih ada
Yang kau tinggalkan dalam kalbuku.."

No comments: