Sunday, January 10, 2010

3 fasa Amy



AMY dan Search - bukanlah nama asing dalam dunia muzik tempatan. Malah, sejak menerajui kumpulan rock berkenaan hampir tiga dekad lalu, Search mampu menghimpunkan jutaan peminat dari seluruh Nusantara.

Selepas Konsert Search Di Awan Biru, Amy sekali lagi ke pentas besar tetapi dalam nuansa berbeza. Konsert Suatu Masa - Amy berskala penuh orkestra bakal menghiasi Istana Budaya (IB) pada 26 hingga 28 Mac ini.

Mempertaruhkan repertoire dan diiringi monolog serta penceritaan (narator) sepanjang tiga fasa perjalanan seni Amy, konsert ini menjanjikan sebuah kelainan pementasan muzik.

Penerbitnya, Azman Azhar berkata, konsert berkenaan menceritakan mengenai perjalanan hidup Amy sepanjang bergelar anak seni.

“Persembahan yang bakal mengambil masa selama dua jam itu menampilkan Amy dengan imej kemas ketika menyampaikan lagu-lagu popularnya di samping penceritaan kariernya. “Tambah menarik, ia turut merungkai mengenai kehidupan penyanyi rock berkenaan ketika zaman kegemilangannya sehinggalah kepada transformasi yang dilakukannya kini yang lebih terarah kepada konsep kerohanian.

“Konsert ini dimulakan dengan pembukaan secara instrumental oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan yang diketuai oleh Mohd Rafi Shafie dan diikuti repertoire lagu solo yang berkonsepkan kemanusiaan sejagat serta ketuhanan dan diakhiri dengan lagu terbarunya, Asma Al-Husna.


“Namun, lagu hits dendangannya bersama Search turut diselitkan sebagai penghargaan kepada kumpulan itu,” katanya.

Menurut Azman, konsert ini juga bakal mengubah imej Amy sebagai penyanyi rock dan ia akan menjadi landasannya untuk meneruskan kerjaya.

“Konsert ini bagaikan satu perubahan besar kepada hidup beliau. Selepas ini, kerjaya Amy sebagai penyanyi akan bermula semula dan mungkin ada yang melabelkannya sebagai penyanyi yang berkonsepkan kerohanian. Malah, ia juga boleh dianggap sebagai satu permulaan imej baru Amy.

“Konsert ini menjadi persembahan pertamanya muncul solo di IB dan Amy bakal mendendangkan 20 hingga 25 lagu.

“Selain itu, kami juga sudah mendapatkan persetujuan daripada Fauziah Ahmad Daud (Ogy) yang menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik dan pencerita.

“Bagi yang ingin mendapatkan tiket, ia boleh didapati menerusi www.tiket2u.biz atau di IB pada harga RM50, RM80, RM120, RM180 dan RM300,” katanya.

Credit : Harian Metro

No comments: