Thursday, August 13, 2009

Pergi Tak Kembali



Credit Pic-BLOG ARWAH

Assalamualaikum..

Tatkala kira-kira seminggu lagi untuk kita menyambut kedatangan Ramadhan, hari ini kita telah dikejutkan dengan berita pemergian seorang ‘pejuang’ tulen nasyid tanahair iaitu Mohammad Asri Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Ustaz Asri. Merupakan seorang vokalis kepada sebuah kumpulan nasyid yang popular dan terbaik di Malaysia iaitu RABBANI, Ustaz Asri telah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.15 pagi ketika rebah apabila membuat persembahan di RTM. Klik DI SINI untuk kisah selanjutnya mengenai pemergian Ustaz Asri .

Mengenali Ustaz Asri yang merupakan salah seorang pemilik vokal unik serta merdu bagi saya(hanya meminati vocal Nazrey RAIHAN dan Asri RABBANI), cukup mengejutkan apabila terlalu awal beliau meninggalkan kita semua. Dan saya percaya banyak lagi projek-projek serta perancangan baru yang beliau serta team Rabbani Production rancangkan kerana beliau dan rakan-rakan adalah individu yang kuat bekerja serta kaya dengan idea2 baru yang bernas. Pernah beberapa kali bersua dengan beliau dan termasuk juga menonton konsertnya ketika di UDM dulu, Ustaz Asri sememangnya merupakan seorang yang cukup rendah diri serta mesra meskipun mempunyai ‘aura’ selaku penyanyi kumpulan nasyid yang diminati.

Projek ‘Mentari Merah Di Ufuk Timur’ bersama AMY pastinya akan sentiasa diingati oleh penggemar-penggemar tidak kira Rabbani atau Search sendiri. Ustaz Asri tetap menghormati Amy dengan memanggil nama panggilan sebagai ‘abang’ selaku seorang yang lebih muda dan tidak pernah sesekali untuk memandang rendah personality serta sikap artis rock seperti Amy. Hubungan baik antara beliau berdua juga terus sentiasa dapat dilihat apabila Amy serta Rabbani saling membantu antara satu sama lain dalam banyak perkara. Bagaimana dengan projek ‘Meniti Titian Usang’? Saya juga tidak pasti dengan perkembangan projek tersebut dan semoga ia sempat dirakamkan sebagai antara material terakhir arwah.

Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai umat manusia yang ‘pergi’ awal meninggalkan dunia dan semoga pemergian arwah akan membuatkan saya sentiasa mengingati frasa serta maksud KEMATIAN yang pasti datang tanpa diketahui waktunya. Semoga Allah SWT sentiasa menjadikan saya seorang muslim yang sentiasa patuh pada ajaran-NYA. Ustaz Mohammad Asri, kami semua pasti akan merindui alunan lunak dan merdu vokal emasmu.. Semoga rohmu sentiasa damai ‘disana’.. Pergimu pasti tidak kembali lagi, AL FATIHAH..

AM : Petikan dari blog arwah>

Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...

No comments: