Monday, June 7, 2010

Hari Itu Sudah Berlalu : Semoga Amin Tenang Di ‘Sana’

Assalamualaikum..

Setelah dua entri eksklusif untuk ruangan ini, aku tergerak untuk menulis mengenai perihal insan ini. Mohd Amin Bin Zaini, nama yang sentiasa melekat diingatan aku tatkala mengimbas kembali memori persekolahan dulu. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada kira-kira akhir 2004 akibat kemalangan jalanraya di Pulau Pinang.


Serba salah juga rasanya untuk aku bercerita perihal insan yang telah pergi, namun bila difikirkan balik, apa salahnya jika ia boleh mengingatkan kita mengenai saat KEMATIAN. Setiap manusia tidak akan terlepas dari mati dan aku percaya bahawa Azza Wa Jalla lebih menyayangi arwah Amin yang pergi terlebih dahulu meskipun pada usia yang boleh dikatakan muda.


Terfikirkah kita, disaat sedang bersukaria dan berseronok dengan kehidupan dunia, tiba-tiba Allah SWT menarik nyawa yang dipinjamnya. Huh, aku insan yang cukup lemah serta naïf untuk menghadapinya, semoga Dia sentiasa meletakkan aku dilandasan yang benar untuk mencari kesempurnaan di Barzakh sana. Arwah Amin, rakan sekelas aku dari tahun 2000 hingga ke 2002, aku terkedu saat mendengar berita pemergiannya.


Arwah seorang yang cukup baik hati dan dari keluarga yang baik hati. Boleh dikatakan aku sempat untuk ‘rapat’ bersama keluarganya tatkala kami bersahabat dulu. Pernah sesekali bertandang kerumahnya untuk menjemput beliau kemana-mana. Di dalam kelas, beliau seorang yang ceria, suka membuat lawak dan kadang-kadang cepat mengantuk. Pantang cikgu keluar kelas, mulalah beliau tidur. Hehe.


Pengalaman manis bersama arwah tentulah disaat kali pertama menjejakkan kaki ke Pulau Perhentian pada 2001. Pergi atas pelawaan Dollah Salim bersama-sama dengan Mat Due ‘itik’, arwah tatkala itu cukup excited untuk bersukaria tanpa mengetahui bahawa ajalnya akan tiba kurang dari 3 tahun lagi. Semuanya atas kekuasaan Allah SWT bukan? Dan kita terlalu kerdil untuk tidak menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.


Arwah juga salah seorang geng ‘gila bola di SMKANI’ dan merupakan seorang pemain bolasepak yang baik. Juga hebat dalam permainan bolatampar, arwah sememangnya antara pelajar yang gemar bersukan sebenarnya. Kami sememangnya satu kepala dan bersama-sama menyertai lawatan ke dua destinasi sepanjang lima tahun tersebut. Tanpa diragui, arwah sememangnya baik hati dan mudah menolong orang tatkala dalam kesusahan.


Last aku sekelas dengan arwah adalah tahun 2002, masa tingkatan tiga. Aku duduk depan arwah dan kalau dah sebut tiga tahun berada dalam kelas yang sama, sudah tentu aku faham benar dengan perangainya. Tingkatan empat dan lima, arwah tidak tinggal di asrama menyebabkan arwah sedikit ‘jauh’ dengan geng-geng dulu. Terkilan sebenarnya dengan secebis perubahan sikap arwah apabila beliau mengikut ‘geng’ lain dan tidak tinggal di asrama bersama kami. Renggang hubungan, namun masih erat dalam tali persahabatan.


Selepas SPM, arwah dikatakan bekerja di Pulau Pinang dan sempat juga sebenarnya aku sekali sekala menghubungi arwah untuk bertanya khabar. Takdir Dia, tiada lewat mahupun awal sesaat, arwah Amin diberitakan terlibat dalam satu kemalangan jalanraya yang sekaligus meragut nyawa beliau. Siapa yang menduga? Keputusan SPM pun masih belum diumumkan tatkala tersebut. Masih ralat meskipun sentiasa berharap kerana belum pernah mengunjungi pusara arwah di Pulau Pinang.


Allahyarham Mohd Amin Bin Zaini, semoga kamu tenang di ‘sana’. Suatu masa nanti, kami semua pasti akan menuruti kerana ia adalah janji dari Ya Rabbi. Ya Allah, ampuni dosa-dosa arwah dan tempatkanlah beliau dikalangan roh orang yang beriman. Rakan-rakan sekalian, ingatlah tempatmu di ‘sana’ kelak!


“Aku saye n rindu gilo ko mu, min! Maafkae aku banyok2 deh if aku pernoh buat mu kecik hati”-Mesha Khonger


Amysha 20:58

1 comment:

zuwer pok njuut said...

Salam.
Am terima kasih.ana duduk di sebelah arwah masa form3. Arwah memang baik hati dan pandai jaga hati kawan.

Terima kasih, anda benar am, kita akan menyusul nanti.

We always the gang!!
posting yang bermakna, syukran ya akhi..
zuwer pok njuut..