Sunday, November 9, 2008

Glory-Glory Rafael


Salam Semua..
Pagi Ahad yang sepatutnya menjadi pagi-pagi yang indah sebelum ini terpaksa di terjemahkan menjadi sebaliknya kerana tewasnya pasukan Manchester United (MU) di tangan musuh London, Arsenal..Bagi saya inilah pasukan sebenar yang menjadi musuh tradisi MU sejak tirai 90-an berbanding dengan Liverpool dan Chelsea kerana pertembungan dengan Arsenal sentiasa menjadikan ia sebagai sebuah pentas yang cukup dramatik, panas dan mendebarkan setiap yang menonton.

Bertempat di Restoran Siang Malam, Gong Badak berhampiran dengan UDM ini, suasana menjadi semakin hangat tatkala permainan berusia 80 minit kerana menantikan MU menjaringkan gol penyamaan. Namun kehampaan jelas terbayang pada setiap riak wajah penyokong MU yang menanti penuh bersemangat walaupun masa kecederaan di tambah selama 6 minit! Ya, baru November dan Liga Perdana Inggeris memang akan tamat pada April atau Mei 2009, namun kekalahan kepada Arsenal mengundang resah buat para penyokong MU kerana untuk menjulang kejuaraan liga, anda perlu menewaskan pasukan-pasukan gergasi!

Tapi saya yakin bos MU, Sir Alex Ferguson masih belum menekan butang panik kerana beliau sememangnya cukup masak dan berpengalaman untuk menangani tekanan dalam saingan liga. Tidak mahu mencampuri urusan taktikal dan pengurusan beliau, kerana sedar hanya individu ini yang bertanggungjawab membawa kegemilangan pada MU sebelum ini, namun di sebalik kekalahan yang tercipta di gelora Emirates malam tadi telah terbitnya sebutir bintang yang bakal begemerlapan –RAFAEL DA SILVA!

Baru berusia 18 tahun, anak muda yang berasal dari Brazil ini pada mulanya di rasakan cukup sangsi untuk beraksi bersama MU pada saingan Liga Inggeris. Namun atas keazaman yang kuat untuk membina nama sebagai antara empayar penting MU, Rafael nyata tidak mempersia-siakan peluang yang di berikan oleh pengurus apabila tidak menunggu lama untuk menggegar jaring walaupun beraksi sebagai pertahanan kanan selepas ketinggalan 0-2 oleh jaringan Samir Nasri. Mempunyai sifat kerajinan yang tinggi, tidak berputus asa untuk mendapatkan bola serta memiliki kawalan bola yang menakjubkan (mungkin kerana dia adalah Brazilian), Rafael di jangka akan mudah mendapat tempat dalam kesebelasan utama MU pada masa akan datang.

Ketinggalan 1-2 pada Arsenal kekal hingga tamat permainan yang menyaksikan Mikael Silvestre berjaya menumpaskan kelab lamanya dan paling penting, Rafael telah berjaya memberitahu dunia bahawa beliau juga adalah bakal bintang setelah jaringan cantik yang di lakukan di hadapan penyokong Arsenal malam tadi.

Semoga MU akan terus berjuang untuk kejuaraan dan semoga kita semua akan sentiasa di permudahkan urusan oleh Allah swt dalam kehidupan seharian..Wassalam..

No comments: