Tuesday, November 18, 2008

Sedang Ingin Berpisah


“Mengapa kita berjumpa.. Namun akhirnya terpisah..”

Bait-baik lirik lagu Isabella ini seringkali bermain di telinga kita selaku salah sebuah lagu ‘mesra telinga’ buat rakyat Malaysia. Apa yang ingin di sampaikan pada entri kali ini adalah tentang sebuah perkataan PERPISAHAN yang tidak ingin kita hadapi namun pasti kita akan harungi jua pada suatu hari. Setiap yang bermula pasti akan berakhir namun tidak semua mengetahui bilakah perpisahan itu bakal menjelma ke atas diri masing-masing.

Kenangan demi kenangan menjelma kini dan pasti semakin sukar untuk di lupuskan dalam ingatan masing-masing. Kenangan di bumi KUSZA @ UDM ini sememangnya amat bernilai buat diri saya dan pastinya saya akan hargainya hingga hujung nyawa. Kenangan inilah yang mematangkan saya, menjadikan jiwa saya lebih dewasa, lebih yakin untuk menempuh hidup di hari sukar kelak. Lebih tiga tahun memerah keringat untuk mencari sekelumit ilmu, di sisi saya juga hadir para sahabat yang cukup saya sayangi. Namun kenangan yang terpahat itu pasti tidak dapat di rencanakan dengan lebih lama lagi kerana kita pasti akan berpisah jua.

Kepada para sahabat yang di hargai, terutamanya rakan sekelas DIA 2005-2008, semoga kalian semua mendapat kejayaan yang di idamkan. Pada teman-teman sebilik dan serumah, yang masih kekal pada semester depan, teruskan perjuangan anda. Jangan berputus asa untuk mencapai impian dan kejayaan yang di cari kerana Allah swt sentiasa di sisi kalian. Mohonlah kepada-NYA seandainya anda memerlukan pertolongan kerna DIA Maha Mengasihi. Para sahabat daripada cabang-cabang lain yang pernah mempunyai kaitan dengan saya tidak kira la sama ada yang bersifat sementara mahupun kekal selamanya, terima kasih di atas jalinan persahabatan yang di hulurkan kalian.

Semoga semuanya selamat untuk melayari bahtera kehidupan yang serba mencabar ini. Perpisahan yang bakal berlaku pastinya terselit 1001 hikmah yang kita sendiri sukar untuk menafsirkannya. Kehidupan ini di ibaratkan seperti mengemudi sebuah sampan, adakalanya sampan tersebut melalui arus yang deras dan kadangkala perlahan. Terpulang la pada kita bagaimana cara untuk mengemudi sampan tersebut. Tidak salah untuk kita mempunyai cita-cita dan keazaman yang tinggi namun kita mesti tahu di manakah tahap sebenar diri kita. Jika besar, besarlah kita dan jika kecil maka kecillah kita.

Sahabatku yang di sayangi, ampunkan segala kekhilafan yang pernah mengguris hati kalian, semoga perpisahan ini suatu titian untuk kita lebih maju pada masa hadapan. Insyaallah, kita akan bertemu lagi di waktu lain kelak meskipun kita sendiri tidak tahu bilakah pertemuan semula itu akan menjelma.

Salam Perpisahan

No comments: